Konkrit timpa kereta
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
Seorang doktor tergamam apabila Honda City yang baru dibelinya empat bulan lalu remuk selepas dihempap dua bongkah konkrit yang jatuh dari tingkap dua unit kediaman Blok C, Kondominium Vista Amani, di Jalan Tasik Permaisuri 3, Bandar Tun Razak, dekat Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian antara jam 7.30 malam hingga 8 malam kelmarin itu, bongkah batu konkrit terbabit menembusi bumbung tempat letak kereta sebelum menghempap kereta mangsa dan sebuah Proton Waja milik penduduk.
Hentaman kuat bongkah berukuran kira-kira 15 sentimeter lebar dan 1.5 meter panjang itu menyebabkan bumbung kereta mangsa kemek selain cerminnya pecah.
Pemilik Honda City itu, Dr Linayanti Rosli, 32, berkata dia hanya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan jirannya kira-kira jam 8 malam.
“Saya tidak tahu bagaimana bongkah konkrit itu boleh jatuh, tetapi berdasarkan pemerhatian ia sebahagian bongkah batu pada satu tingkap unit kediaman di tingkat 12, yang mungkin menjadi puncanya.
“Bongkah itu mungkin jatuh mengenai bongkah konkrit di tingkat bawahnya (tingkat 11), sebelum kedua-duanya menjunam ke bawah mengenai kereta saya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dr Linayanti yang bertugas dalam bidang Kesihatan Masyarakat di Hospital Universiti Kebangsaan (HUKM) dan tinggal bersama rakannya di tingkat 13 kondominium berkenaan berkata, beliau kesal dengan apa yang berlaku pada kereta yang sangat disayanginya.
“Cuma saya lega sedikit apabila pengurusan kondominium berjanji akan menanggung kos pembaikan,” katanya.
0 comments:
Post a Comment